Sejarah Gunung Reng
Gunung Reng terletak di Batu Melintang, Jeli, Kelantan. Tapak Gunung Reng ini asalnya adalah sebuah kampung bernama Kampung Tala yang dibuka oleh Tok Tadoh berketurunan Pulang Hari dari Jawa kira-kira 1,400 tahun dahulu. Kononnya, Ketua Kampung Tala telah mengadakan kenduri besar-besaran tujuh hari tujuh malam, cukup dengan pelbagai jenis permainan. Setelah sampai hari ketujuh, semua jenis permainan telah dilangsungkan. Untuk upacara penutup, mereka telah bermesyuarat dan bersetuju untuk menyediakan pertandingan memperlaga anjing dan kucing di atas bumbung rumah.
Pada waktu Zohor, kedua-dua binatang ini dilagakan di atas bumbung rumah, semasa binatang itu sedang berlaga, berlaku ribut dan taufan berserta hujan yang sangat lebat. Dalam keadaan ribut taufan, seorang perempuan tua bersama dengan seorang cucunya berlari ke kampung yang berhampiran bernama Kampung Gantung untuk mengangkut padi yang dijemur. Setelah selesai memunggah padi yang dijemur, ribut taufan berserta hujan pun berhenti. Perempuan tua tersebut pergi semula ke Kampung Tala, alangkah terperanjatnya apabila perempuan itu melihat Kampung Tala telah ditutup oleh sebuah gunung yang besar dan melenyapkan Kampung Tala sama sekali.
Gunung yang menutupi Kampung Tala itu dikatakan asalnya terletak di hulu Sungai Reng, kira-kira tiga hari dua malam perjalanan iaitu di sempadan Kelantan/Perak.
Tempat asal gunung ini telah menjadi kolam. Daripada nama sungai ini, maka gunung ini dinamakan Gunung Reng. Gunung Reng mempunyai gua-gua yang bercorak bilik-bilik kecil seperti Gua Bedak, Gua Payong, Gua Kaca, Gua Rimau dan Gua Batak. Melalui pintu besar Gunung Reng ini ialah Gua Payong, boleh masuk melalui lorong dalam gua untuk ke bilik-bilik serta ke anjung sehingga ke puncak Gunung Reng,
Gunung Reng juga dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Puteri Sa'adong untuk seketika, setelah berpindah dari Bukit Marak di Pasir Puteh. Hal ini dapat dilihat dari bentuk-bentuk peninggalannya seperti tempat hulubalang, tempat bermain makyung, serta bilik-bilik seperti Gua Badak, Gua Payung, Gua Kaca, Gua Rimau serta Gua Bedak. Walau bagaimanapun, mengikut catatan sejarahnya, Puteri Sa'adong tidak tinggal lama di Gunung Reng kerana beliau kecewa dengan sikap penduduk kampung yang tidak memulangkan barang-barang yang dipinjam oleh mereka seperti pinggang mangkuk. Ekoran daripada itu, Puteri Sa'adong telah merajuk dan telah lari menyembunyikan diri di Gua Ayam yang terletak di Gua Musang dan barang-barang atau khazanah yang tersimpan di gua tersebut telah bertukar menjadi batu termasuk seekor gajah.
Tapak kawasan Gunung Reng kini dibangunkan menjadi kawasan riadah. Pelbagai kemudahan disediakan seperti tandas awam, gerai makanan dan tempat permainan kanak-kanak.